Isnin, 25 Mac 2013

Skytrex & Amazon Adventure


Pada 23 - 24 Mac 2013, seramai 41 orang pelajar yang terdiri dari 19 orang pelajar tingkatan 5TV1, 15 orang pelajar tingkatan 5TV2 dan 7 orang Pengawas Koperasi telah dibawa ke Skytrex, Taman Botani, Shah Alam dan Amazon Adventure, Batang Kali.  

Idea lawatan ini tercetus dari beberapa orang pelajar tingkatan 5TV1 dan 5TV2 yang ingin mengadakan program bersama di luar sekolah memandangkan tahun ini merupakan tahun terakhir mereka.  Perbincangan telah dibuat dan mereka telah memilih Guru Koperasi, yang juga merupakan guru Prinsip Akaun dan Ekonomi Asas mereka untuk merealisasikan program itu. Disebabkan beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan, di saat akhir beberapa orang pelajar yang mulanya bersetuju, terpaksa menarik diri dan digantikan dengan Pengawas Koperasi.

Cabaran lasak bermula di Skytrex di mana semua peserta harus melepasi 23 halangan Big Thrill merentas laluan di atas pokok dalam masa satu setengah hingga 2 jam meliputi Flying Fox dan jambatan gantung. Selepas makan tengah hari secara 'pot luck' peserta dibawa ke Amazon Adventure untuk meneruskan aktiviti selanjutnya. 


Peserta disambut dengan minum petang dan pembahagian kabin dilakukan untuk menempatkan para peserta.  Selepas solat maghrib serta isyak berjemaah dan selesai makan malam, Program Dariku Untukmu dijalankan. Program ini merupakan program bertukar-tukar hadiah di mana para peserta perlu meneka siapakah yang akan memberi hadiah kepada mereka. Jika tersilap teka, peserta harus membuat cabutan denda yang telah disediakan.  Selepas semua peserta yang salah teka menjalani denda, peserta akan menerima hadiah dan hadiah itu akan dibuka di depan semua peserta lain. 

Pada hari kedua, beberapa aktiviti Sukaneka dijalankan oleh AJK Program dan ditambah dengan beberapa aktiviti spontan dari guru mereka.  Selepas makan tengah hari, peserta bertolak pulang dan sampai di sekolah pada jam 3.30 petang.  Terima kasih kepada semua peserta yang telah memberi komitmen yang baik sepanjang program berlangsung dan terima kasih juga diucapkan kepada Saudara Avi Marfaiz bin Maarof dan Saudara Nizam bin Jamal yang membantu setiap aktiviti yang melibatkan Koperasi SMK Jalan Reko Kajang Berhad.
 

1 ulasan:

ketikketok berkata...

Sertai Rakan Koperasi 1KUBSB
...dapatkan diskaun, baucar dan rebat tunai untuk koperasi tuan/puan. Cepat, tawaran TERHAD!

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *