Jumaat, 31 Disember 2010

Pendaftaran Pelajar T1 & Peralihan 2011



Hari ini SMK Jalan Reko telah menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru Tingkatan Satu dan Peralihan untuk sesi persekolahan tahun 2011.



Guru dan pengawas koperasi bersama-sama mengendalikan urusan jualan buku rampaian dan barangan keperluan persekolahan bermula jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. Pengawas koperasi telah tiba pada jam 7.30 pagi dan terus bersarapan nasi ayam sebelum mendengar taklimat yang diberikan oleh Pn Haslina. Tepat jam 8.00 pagi, mereka terus menjalankan tugas yang telah diamanahkan.



Terima kasih diucapkan kepada semua pengawas koperasi yang terlibat iaitu Afiq, Adzha, Fatehah, Syazwan, Azhim, Muhaimin, Razif, Hidayah, Aimie, Farah, Firdaus, Balqis dan bekas pengawas koperasi iaitu Atikah dan Azila. Tidak lupa juga kepada guru koperasi iaitu En. Syahizam, Pn. Hirawati, Pn. Azliha dan Pn. Mastura.

Isnin, 27 Disember 2010

Reunion 3SP1 (2008)


Setelah perbincangan demi perbincangan diadakan, hari ini pelajar-pelajar Tingkatan 3SP1 (2008) telah bertemu kembali bertempat di Plaza Metropoint, Kajang. Disebabkan tidak ramai yang hadir, banyak aktiviti yang dirancang telah dibatalkan.

Aktiviti yang dijalankan ialah permainan bowling, bertukar-tukar hadiah dan makan tengahari di Anak Tanjung Delight. Setelah undian dijalankan, Pn Haslina mendapat hadiah dari Mohd Shahrul dan Muhammad Nasri, kedua-duanya Ahli Lembaga Koperasi tahun 2010.
Pada tahun 2008, Pn. Haslina merupakan guru tingkatan mereka dan mengajar subjek Matematik. Lapan daripada sembilan orang Ahli Lembaga Koperasi tahun 2010 adalah berasal dari kelas tersebut iaitu Mohd Shahrul, Muhammad Nasri, Muhamad Fazwan, Nurizatul Azila, Nur Atikah, Farah Nadia, Nurfarhan Adilah dan Maria Idayu.

Diharapkan semua pelajar-pelajar 3SP1 (2008) ini mencapai kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan SPM yang baru lepas dan seterusnya berjaya di dalam kehidupan masing-masing. Bila semuanya sudah berkerjaya bolehlah usaha untuk mengadakan reunion ini diteruskan lagi.

Rabu, 22 Disember 2010

Happy Birthday - Disember




Sambil menguruskan jualan, hari ini koperasi telah mengadakan sambutan hari jadi Anggota Lembaga yang tarikh lahir mereka jatuh pada bulan Disember. Anggota Lembaga yang terlibat ialah En. Mohd Syahizam b. Shair (19 Disember) dan Muhd. Nur Afiq b. Misnan (22 Disember).
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Selamat Hari Jadi untuk kedua-dua mereka. Selepas dipotong, kek tersebut diedarkan kepada semua yang hadir bertugas pada hari ini. Sebelum pulang, semua pengawas koperasi menerima sebungkus KFC (Dinner Plate).

Kepada kedua-duanya, koperasi mengucapkan selamat menyambut hari jadi...semoga panjang umur, murah rezeki dan bahagia selalu serta sentiasa di dalam lindungan Allah SWT.


Isnin, 20 Disember 2010

Hari Pertama - 20/12/2010


Hari ini guru-guru dan pengawas koperasi telah bersama-sama hadir untuk menguruskan jualan di koperasi. Agak ramai juga pelanggan yang datang untuk membeli barangan sebagai persediaan persekolahan anak mereka.

Pelanggan pertama telah hadir seawal jam 8.00 pagi dan masih ada pelanggan yang datang selepas jam 1.00 petang. Pn. Haslina telah memberikan taklimat kepada guru-guru koperasi pada jam 11.00 pagi dan kepada pengawas koperasi pada jam 12.00 tengah hari.
Taklimat ini adalah berkenaan dengan tugas semasa Hari Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu dan tugas-tugas yang perlu dilaksanakan semasa jualan ini berlangsung.

Hanya 12 orang pengawas sahaja yang hadir bertugas hari ini. Diharapkan pengawas koperasi yang lain akan dapat menghadirkan diri semasa Hari Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu nanti untuk membantu urusan jualan dan edaran barangan kepada pelanggan.

Selasa, 14 Disember 2010

Baju Kokurikulum Tahun 2011



Mesyuarat Anggota Lembaga Koperasi (ALK) Kali Ke-2 Tahun 2010 telah memutuskan untuk menukar baju sukan lama (empat warna) kepada baju kokurikulum (satu warna). Ini adalah untuk menyenangkan urusan pengedaran baju itu terutamanya semasa Hari Pendaftaran Tingkatan Satu.

Sebelum ini pelajar-pelajar tingkatan satu terpaksa menunggu lebih kurang sebulan untuk mendapatkan baju tersebut kerana rumah sukan hanya diketahui melalui nombor pendaftaran sekolah. Setelah guru tingkatan menyerahkan senarai rumah sukan tersebut, barulah pihak koperasi boleh menguruskan penyerahan baju tersebut kepada pelajar setelah diasingkan saiz dan warnanya. Jadi, dalam masa sebulan pertama itu pelajar-pelajar Tingkatan Satu perlu membeli baju lain untuk dipakai semasa hadir untuk aktiviti kokurikulum.

Selain dari itu, pihak koperasi sendiri mengalami masalah untuk menempah dan menyimpan stok kerana ia melibatkan dua kategori (tangan panjang dan tangan pendek) serta empat warna dengan lima saiz setiap satu.


Untuk mengatasi masalah itu, cadangan pelaksanaan baju kokurikulum ini telah diterima sebulat suara. Warna oren dipilih untuk mengelakkan warna empat rumah sukan dan badan khas yang ada di sekolah. Semasa sukan nanti, pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan akan dibezakan melalui pemakaian label nombor mengikut warna rumah sukan masing-masing.


Pelajar-pelajar boleh mula membeli Baju Kokurikulum ini pada 20 Disember 2010 dengan harga RM 18.50 untuk lengan pendek (lelaki) dan RM 19.50 untuk lengan panjang (perempuan). Baju Kokurikulum ini juga dibenarkan dipakai sepanjang waktu persekolahan bagi pelajar-pelajar yang mempunyai subjek Pendidikan Jasmani pada hari tersebut. Baju kokurikulum ini akan dipakai pertama kalinya oleh Pengawas Koperasi semasa Hari Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu nanti.

Isnin, 13 Disember 2010

Stok Barangan Sudah Sampai

Stok barangan untuk jualan sudah mulai tiba. Hari ini Pn. Haslina berada di sekolah mulai jam 9.30 pagi hingga 3.00 petang untuk menerima barangan yang telah dipesan sebelum sekolah bercuti dahulu.


Barang-barang yang dihantar hari ini ialah Test Pad dari Sinar Gemilang, Ring File dari Obin Enterprise, Baju Sukan dari Syarikat Exacmust, Buku Latihan Garis Satu dan Buku Petak dari Pustaka Jasa, Fail Peribadi Pelajar dan Kalkulator dari Pustaka Daya Intelek. Walau bagaimanapun, Sketch Pad yang sepatutnya bersaiz A4 telah silap dihantar oleh Eilong Trading dan akan dihantar semula pada esok hari.

Sebelum itu, pada hari Jumaat lepas En. Syahizam telah menerima Buku Nota Tebal yang dihantar oleh Pustaka Jasa. Barangan lain seperti Kain Sampin, Lencana, Tali Leher, Buku Sahsiah Pelajar Unggul dan lain-lain lagi akan dihantar pada minggu hadapan setelah Kedai Koperasi dibuka untuk jualan.



Barang-barang yang sepatutnya disimpan di dalam stor telah melimpah ke ruang jualan kerana kesempitan ruang. Pihak Lembaga Koperasi akan memikirkan cara untuk membesarkan ruangan stor memandangkan kesulitan ini dialami setiap tahun sehingga menyukarkan proses jualan setelah Kedai Koperasi dibuka untuk jualan pada akhir tahun.

Diharapkan semua Pengawas Koperasi akan bersama-sama mengambil bahagian bermula 20 Disember nanti dalam menjayakan aktiviti jualan, packing buku, packing barangan untuk Hari Pendaftaran Tingkatan Satu dan sebagainya. Hulurkan Tangan, Ringankan Beban. Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing.

Ahad, 28 November 2010

Jualan Semasa Cuti


Seperti tahun-tahun sebelum ini, Koperasi SMK Jalan Reko Kajang Berhad akan dibuka dalam bulan Disember untuk mengadakan jualan buku rampaian dan keperluan persekolahan kepada pelajar-pelajar.

Tujuan koperasi dibuka semasa cuti ini adalah untuk membolehkan pelajar-pelajar membuat persediaan awal dan mengelakkan kesesakan berlaku di kedai koperasi semasa sekolah dibuka nanti. Oleh itu, pelajar-pelajar dinasihatkan agar tidak menunggu untuk membeli buku semasa sekolah dibuka bagi mengelakkan masalah yang mungkin timbul.

Senarai buku-buku dan keperluan persekolahan boleh didapati di koperasi apabila aktiviti jualan bermula nanti. Semua pengawas koperasi diharapkan dapat menghadirkan diri untuk bertugas seperti yang telah dimaklumkan.

Sabtu, 13 November 2010

Budimu Dijunjung Jasamu Disanjung



Pada hari Jumaat 12 November 2010, telah berlangsung Majlis Persaraan Datin Norlia bt. Dahlan. Majlis yang bermula pada jam 8.00 pagi dan diadakan di dalam Dewan Lestari ini dihadiri oleh semua guru sesi pagi dan petang serta pelajar-pelajar sesi pagi.



Sesi pertama majlis ini diisi dengan ucapan-ucapan, penyampaian hadiah dan persembahan dari guru serta pelajar. Setelah menikmati jamuan dan berehat selama sejam, Datin diiringi oleh para pentadbir untuk bersalaman dengan guru-guru dan para pelajar di atas 'red carpet' di sepanjang perjalanan menuju kereta beliau yang berada di luar pagar sekolah.



Sehari sebelum majlis ini berlangsung, Pn. Haslina bt. Ibrahim (Setiausaha Koperasi) telah menyerahkan kembali saham beserta dengan dividen yang telah dilaburkan oleh Datin di dalam koperasi.


Sabtu, 30 Oktober 2010

Glamorous Red Carpet



Tahun ini Kelab guru SMK Jalan Reko telah memberi tema 'Glamorous Red Carpet' untuk Majlis Jamuan Akhir Tahun. Bertempat di Equestrian Park, Putrajaya majlis yang bermula jam 3.00 petang ini diisi dengan beberapa pengisian seperti Ucapan Pengerusi Kelab Guru (En. Mohd. Syahizam b. Shair), Ucapan Pengetua, Persembahan Pelajar, Cabutan Bertuah, Anugerah Khas serta Anugerah Raja dan Ratu Reko.



Sebanyak 35 cabutan bertuah seperti hamper dan barangan elektrik sumbangan guru-guru serta pembekal barangan sekolah telah disediakan untuk memeriahkan suasana. Anugerah Khas telah diberi kepada Pn. Haslina bt. Ibrahim (Anugerah Angkasa), Cik Fatimah bt. Jani (Anugerah Maya), En. Ahmad b. Abdullah (Anugerah Anjung), Pn. Rozarina bt. Bukhari (Anugerah Ketabahan) serta Pn. Zainon bt. Abdullah, Pn. Sim Sai Hong, Pn. Goh Lee Yin dan Pn. Lee Poh Bee (Anugerah Perintis).



Anugerah Ratu Reko tahun ini telah disandang oleh Pn. Jemiat bt. Ali dan Raja Reko pula dimenangi oleh En. Salmi b. Zakaria. Majlis Jamuan Akhir Tahun Kelab Guru ini berakhir jam 6.00 petang. Tahniah diucapkan kepada semua AJK Kelab Guru yang telah bertungkus lumus menyediakan majlis ini.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *