Selasa, 31 Disember 2013

Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 & Peralihan 2014

Bermula jam 7.30 pagi tadi, 4 orang Guru Koperasi dan 19 orang Pengawas Koperasi bersama-sama menguruskan jualan barang keperluan persekolahan dan buku rampaian di Kedai Koperasi.  Guru tingkatan juga membantu pihak koperasi mengutip wang dari ibu bapa di kelas untuk pembelian Fail PBS, Fail Peribadi Pelajar dan bayaran saham koperasi.

Selepas pendaftaran selesai pada jam 12.00 tengah hari, guru tingkatan menyerahkan wang jualan kepada Bendahari Koperasi.  Kedai Koperasi ditutup jam 1.00 petang tadi dan selepas ini ia akan beroperasi seperti biasa di hari-hari persekolahan.  Terima kasih diucapkan kepada semua Guru dan Pengawas Koperasi yang terlibat dan semoga semangat kerjasama ini akan diteruskan pada hari-hari mendatang.

 
 

Jumaat, 22 November 2013

Jualan Buku Rampaian & Keperluan Persekolahan Untuk Tahun 2014


Seperti tahun-tahun lepas, Koperasi SMK Jalan Reko Kajang Berhad akan dibuka dua minggu terakhir dalam bulan Disember untuk menjual buku rampaian dan keperluan persekolahan kepada semua pelajar. Pelajar-pelajar digalakkan datang membeli keperluan mereka lebih awal, sebelum sekolah dibuka dalam bulan Januari untuk mengelakkan kesesakan.  

Jika pelajar-pelajar tidak berkesempatan untuk mendapatkan senarai buku rampaian dan keperluan persekolahan di pejabat, sila klik link berikut http://www.scribd.com/doc/186256227/SENARAI-PENDAFTARAN-2014 

Sabtu, 26 Oktober 2013

Majlis Graduasi 2013

Pada jam 8.30 pagi tadi, telah berlangsung Majlis Graduasi yang dikhaskan untuk pelajar Prauniversiti dan pelajar Tingkatan Lima.  Penganjuran majlis seumpama ini sebenarnya adalah bertujuan untuk memberi motivasi dan perangsang agar para pelajar lebih bersedia dan berazam untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM yang bakal menjelang tiba.


Majlis yang dirasmikan oleh Datin Ramlah bt. Abdul Rahman A.M.N, penaung kecemerlangan akademik & sahsiah pelajar SMK Jalan Reko itu dimulakan dengan perarakan masuk tetamu kehormat dan barisan pentadbir.  Untuk sesi pertama, skrol kepada graduan diserahkan oleh Pn. Zaitun bt Ibrahim (pengetua) dan untuk sesi kedua pula, tugas ini diambilalih oleh Datin Ramlah (perasmi).


Anugerah Tokoh Pelajar telah diberikan kepada Cut Ulfah Nihayati Sholeha bt Teuku Husaini dari Tingkatan 5 Sains.  Tahniah diucapkan kepada para graduan dan ibu bapa serta penjaga mereka.  Semoga lebih cemerlang di masa hadapan.

Khamis, 24 Oktober 2013

Jamuan Akhir Tahun Kelab Guru & Staf 2013

Pada hari Sabtu 19 Oktober 2013, Majlis Jamuan Akhir Tahun Kelab Guru & Staf telah diadakan di Puri Buana Garden Wedding, Bandar Baru Bangi.  Aktiviti terakhir kelab ini yang bermula pada jam 3.00 petang telah dihadiri oleh para jemputan yang terdiri dari ahli kelab, bekas guru yang telah bersara dan AJK PIBG.

Selain dari jamuan, majlis ini diselang selikan dengan penyampaian sijil untuk guru dan staf serta persembahan karaoke dari guru-guru. Tidak ketinggalan juga cabutan bertuah yang menawarkan berbagai hadiah termasuk barangan elektrik.  Hadiah utama berupa pakej menunaikan umrah telah dimenangi oleh Pn. Nurul Ashikin binti Jauhari.

Majlis yang bertemakan "Colourful & Fun" itu berakhir pada jam 6.30 petang.




 

Jumaat, 27 September 2013

Anugerah Qualiti Prima 2013


Pada jam 7.40 pagi tadi telah berlangsung Majlis Anugerah Qualiti Prima di Dataran Wawasan SMK Jalan Reko.  Anugerah ini diberikan kepada pemimpin pelajar sebagai penghargaan kerana menunjukkan keperibadian dan sahsiah yang terpuji, memberi sumbangan kepada pengurusan program dan aktiviti sekolah sepanjang tahun serta pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah di peringkat zon, daerah dan juga negeri.


Penyampaian Anugerah Qualiti Prima ini dibahagikan kepada sesi pertama untuk Anugerah Kepimpinan Cemerlang & Anugerah Khidmat Bakti Cemerlang, sesi kedua untuk Anugerah Kehadiran Penuh & Anugerah Pekerti Terpuji dan sesi ketiga untuk Anugerah Kelas Kondusif Cemerlang & Anugerah Permata Reko.

Jawatankuasa Penilai Anugerah Qualiti Prima HEM telah sebulat suara memilih Muhammad Arif bin Idris dari Tingkatan 5 Sains sebagai Penerima Anugerah Permata Reko Tahun 2013.  Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah dan semoga terus cemerlang pada masa akan datang.

Ahad, 8 September 2013

Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum 2013

Pada hari Sabtu 7 September 2013, telah berlangsung Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum di Dataran Wawasan SMK Jalan Reko.  Majlis yang dirasmikan oleh YDP PIBG itu bermula pada jam 8.00 pagi dan memberi pelbagai anugerah kepada guru, pelajar dan staf sokongan sekolah.

Antara anugerah yang diberikan ialah Anugerah Khidmat Bakti Jaya, Anugerah Unit Paling Aktif, Anugerah Penghantaran Buku Penilaian Kokurikulum Terawal Dan Lengkap, Anugerah Pemakaian Baju Uniform, Anugerah Papan Kenyataan Terbaik, Anugerah Buku Blak Paling Lengkap dan lain-lain lagi.








Anugerah Tokoh Harapan Kokurikulum & Kepimpinan disandang oleh Nur Danisyah bt. Khairuddin (PPKI) dan Fatin Nur Afiqa bt. Yazid (5 Sains).  Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah, semoga anda akan bertambah cemerlang pada masa akan datang. 

Isnin, 26 Ogos 2013

Kejohanan Balapan Dan Padang 2013

Pada hari Ahad 25 Ogos 2013, SMK Jalan Reko telah mengadakan Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke-19 di Stadium Inspen, Putrajaya.  Program yang bermula pada jam 7.30 pagi itu dirasmikan oleh En. Abdul Rahman b. Ajam, Pengerusi PIBG SMK Jalan Reko.

Kejohanan dimulakan dengan perarakan masuk kontinjen rumah sukan dan persembahan dari keempat-empat rumah sukan Buana, Purnama, Samudera dan Suria.  Selepas perasmian, acara balapan dan padang dimulakan.  Acara yang dipertandingkan ialah lompat jauh, lontar peluru, 50m, 100m, 400m dan 4 x 100m. Tahniah diucapkan kepada Rumah Suria yang masih mengekalkan gelaran Juara Keseluruhan. 






Jumaat, 2 Ogos 2013

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1434H/2013M & Penyerahan Zakat Perniagaan


Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.


Biar hati sejernih air, jgn pula dipenuhi lumpur, 
kalau salah saya belum berakhir, diharap diampun dgn rasa bersyukur

Jika budi dipenuhi ikhlas, jgn ia disulam tuba, 
jika ada salah yg belum dibalas, harap diampun di hariraya

Biar amarah disunting senyum, ibarat pekerti disulam kasih, 
diharap dihalal makan dan minum, ibarat rezeki yg tidak disisih


Pagi tadi, Bendahari Koperasi SMK Jalan Reko Kajang Berhad telah menyerahkan Zakat Perniagaan Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Ogos 2012 kepada Pengetua SMK Jalan Reko.  Zakat ini kemudiannya diserahkan kepada Panitia Agama Islam untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar yang layak menerimanya di dalam Majlis Khatam Al-Quran dan Penyerahan Sumbangan Hari Raya iaitu salah satu aktiviti di dalam Program Ihya' Ramadhan.





Semoga Allah Taala membalas dengan sebaik-baik balasan 
pada apa yang koperasi berikan dan melimpahkan berkat 
pada harta koperasi yang tinggal.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *