Jumaat, 30 Disember 2011

Pendaftaran Pelajar Baru 2012



Bermula jam 8.00 pagi tadi, SMK Jalan Reko telah menjalankan Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu dan Peralihan. Sebelum membuat pendaftaran di kelas anak masing-masing, ibu bapa pelajar mendengar taklimat Pengetua dan Penolong Kanan di Dewan Lestari.



Guru dan Pengawas koperasi meneruskan tugas menjual buku dan peralatan persekolahan yang telah dimulakan pada 19 Disember lepas. Cuma berbeza dari hari-hari sebelum ini, koperasi agak sesak kerana ramai ibu bapa yang hadir untuk membeli keperluan anak-anak mereka.

Sabtu, 15 Oktober 2011

Ibadat Haji 1432H - Salam Kemaafan

Pada jam 10 pagi Selasa 11 Oktober 2011, saya telah menerima surat Makluman Kursus Khas Haji (KKH) Bagi Musim Haji 1432H (2011M). Pada masa itu, rasa seperti tidak percaya dengan surat tersebut, mungkin silap hantar atau mungkin silap tarikh. Saya bukan di dalam senarai menunggu, tidak pernah juga menghadiri mana-mana kursus haji sebelum ini. Keesokannya bila suami menghubungi Pihak Tabung Haji, mereka mengesahkan kebenaran surat tersebut dan memberi surat Tawaran Untuk Mengerjakan Haji (Terpilih).

Jadi, pada pagi itu juga saya pergi ke Hentian Kajang untuk membuat passport. Waktu itu berbagai perkara berada di dalam fikiran saya. Tidak dapat digambarkan perasaan saya lebih-lebih lagi bila mengingatkan saya akan berpisah dengan anak-anak dalam jangkamasa yang agak lama. Tetapi saya harus membuang jauh segala perasaan itu. Saya adalah antara insan terpilih dan saya tidak harus mensia-siakan peluang ini.

Kemudian saya bersama dengan suami pergi ke Pejabat Tabung Haji Cawangan Bandar Baru Bangi untuk mengesahkan penerimaan tawaran tersebut. Seterusnya, kami ke Bangunan Tabung Haji di Kuala Lumpur untuk menguruskan visa. Jam sudah menunjukan pukul 3.00 petang tapi kami tak terasa pun untuk makan dan minum. Kami terus membeli barangan keperluan haji yang dijual di situ. Setelah itu, kami terus ke Pusat Rawatan Az-Zahrah untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan. Alhamdulillah, urusan kami selesai dalam masa satu hari.

Pada pagi Jumaat 14 Oktober, kami telah menerima Jadual Penerbangan iaitu KT76, melapor diri di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada hari Selasa 25 Oktober jam 9.30 malam. Kami akan berlepas dari KLIA dan akan terus dibawa ke Mekah.



Jadi, di kesempatan ini saya ingin meminta ampun dan maaf dari hujung rambut ke hujung kaki atas segala kesalahan yang pernah saya lakukan. Mohon juga semua sahabat handai, semua yang mengenali saya mendoakan kami, suami isteri selamat pergi dan selamat kembali serta dipermudahkan segala urusan seterusnya memperolehi haji yang mabrur.

Ahad, 25 September 2011

Anugerah Qualiti Prima 2011

Anugerah Qualiti Prima yang diadakan pada hari Sabtu 24 September adalah satu majlis yang dirancang khas untuk meraikan serta memberi penghargaan kepada para pelajar dan barisan pemimpin SMK Jalan Reko.



Majlis ini juga digarap bagi menonjolkan para pelajar yang telah mencipta kejayaan dan mengharumkan nama sekolah dalam aktiviti kokurikulum sepanjang tahun 2011 serta memberi apresiasi kepada barisan kepimpinan pelajar yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.



Majlis ini dibahagikan kepada empat sesi iaitu Anugerah Qualiti Prima (PPKI), Anugerah Qualiti Prima (Kokurikulum), Anugerah Qualiti Prima (Kepimpinan Pelajar) dan Anugerah Tokoh Kokurikulum Harapan & Pemimpin Harapan. Majlis ini diselangseli dengan persembahan Nasyid, Tarian, Nyanyian dan Silat.




Di dalam majlis ini, empat orang Pengawas Koperasi Tingkatan Lima turut menerima Anugerah Kepimpinan Pelajar iaitu Muhammad Nur Afiq b. Misnan, Mohd Adzha b. Mesdi, Nur Fatehah bt. Abdullah dan Puteri Noor Hawabealla bt. Ismail.

Khamis, 15 September 2011

Majlis Penutupan Bulan Patriotisme

Pada jam 7.30 pagi tadi, SMK Jalan Reko telah mengadakan Majlis Sambutan Bulan Patriotisme bertempat di Dataran Wawasan. Bulan Patriotisme yang telah disambut selama sebulan mulai bulan Ogos lepas telah diisi dengan pelbagai program yang dikendalikan oleh panitia-panitia yang terlibat di dalam Bidang Kemanusiaan.


Di dalam majlis itu Pn Rohaniah bt. Kassim selaku Ketua Bidang Kemanusiaan menyerahkan kembali Replika Keris yang telah diterima semasa Majlis Perasmian Bulan Patriotik awal bulan Ogos dahulu. Ini sebagai simbol tanggungjawab yang diberi telah pun disempurnakan.


Selain daripada persembahan Koir Lagu (Tanah Pusaka) dan Drama Patriotik (Puteri Gunung Ledang), majlis ini juga diserikan dengan persembahan Koir dari pelajar SMK Kajang Utama. Pn Fuziah bt. Mohd Ali, Pemangku Pengetua SMK Jalan Reko telah menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang telah dijalankan sepanjang Sambutan Bulan Patriotik berlangsung.



Read More...

TEKS UCAPAN MAJLIS PENUTUPAN BULANPATRIOTISME KALI KE 54

Yang berusaha, Pn. Fuziah bt. Mohd Ali, Pemangku Pengetua SMK Jalan Reko
Pn. Sehidah bt. Sirajudin, Penolong Kanan HEM
Pn. Noorlaili bt. Mahmud, Penolong Kanan Kokurikulum
Pn. Che Sarbani bt. Abu Hanifah, Penolong Kanan Tingkatan 6
Pn. Yap Eit Moy, Penolong Kanan PPKI
Semua Ketua Bidang, Guru Bimbingan Kaunseling Sepenuh Masa
Turut mengalu-alukan delegasi SMK Kajang Utama
Guru-guru dan pelajar-pelajar sekelian.

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
_______________________________________________________

Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama-sama di dalam Majlis Penutupan Bulan Patriotisme yang telah mula disambut pada bulan Ogos lepas. Sambutan selama sebulan ini telah diisi dengan pelbagai program yang dikendalikan oleh Panitia-panitia yang terlibat di dalam Bidang Kemanusiaan.

Hadirin dan hadirat sekelian, agar majlis kita mendapat keberkatan dari Ilahi, dijemput En. Abdul Ghaffar b. Abdullah untuk membaca doa. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
_______________________________________________________

Majlis mengucapkan terima kasih kepada En. Abdul Ghaffar b. Abdullah di atas bacaan doa itu tadi. Seterusnya, diminta para hadirin berdiri untuk menyanyikan tiga buah lagu iaitu Lagu Negaraku, Lagu Negeri Selangor dan Lagu Sekolah. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
_______________________________________________________

Naik kereta pergi ke pekan
Untuk membeli ikan tenggiri
Ucapan Puan kami nantikan
Semoga majlis terus berseri

Bagi meneruskan majlis, dijemput Pn. Fuziah bt. Mohd Ali, Pemangku Pengetua SMK Jalan Reko untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan Majlis Penutupan Bulan Patriotisme. Dengan segala hormatnya, majlis mempersilakan.
_______________________________________________________

Majlis mengucapkan terima kasih kepada Pn. Fuziah bt. Mohd Ali di atas ucapan itu tadi. Seterusnya, majlis menjemput Pn. Rohaniah bt. Kassim, Ketua Bidang Kemanusiaan untuk menyerahkan kembali Replika Keris sebagai simbol tanggungjawab yang diberi telah pun disempurnakan. Dengan segala hormatnya, majlis mempersilakan.
_______________________________________________________

Pergi ke kedai bersama nyonya
Untuk membeli ikan haruan
Majlis ini tiada serinya
Tanpa disajikan dengan persembahan

Majlis diteruskan dengan persembahan Koir dari pelajar-pelajar SMK Kajang Utama di bawah pimpinan Pn Rohaida bt. Ismail dan Pn Asma bt. Mohd Tahrim. Untuk pengetahuan para hadirin, Persembahan Koir ini adalah salah satu daripada Program RIMUP Kelompok A11 yang menggabungkan tiga buah sekolah iaitu SMK Jalan Reko, SMK Kajang Utama dan SMK Jalan Empat.

Hadirin yang dihormati, dipersilakan dengan segala hormatnya Pasukan Koir daripada SMK Kajang Utama. Dipersilakan.
_______________________________________________________

Majlis mengucapkan terima kasih di atas persembahan koir itu tadi. Majlis diteruskan dengan Persembahan Drama Patriotik hasil idea Pelajar Tingkatan 6 Rendah di bawah pimpinan Saudara Mohd Amirul Amir b. Ismail .

Hadirin dan hadirat sekelian, sekarang dipersilakan Pelajar-pelajar Tingkatan 6 Rendah dengan Drama yang berjudul “Puteri Gunung Ledang”. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.
_______________________________________________________

Seterusnya, majlis mempersilakan Pn Fuziah bt. Mohd Ali, Pemangku Pengetua diiringi oleh Pn Rohaniah bt. Kassim, Ketua Bidang Kemanusiaan untuk acara penyampaian hadiah pertandingan yang dijalankan sempena Bulan Patriotisme. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.
_______________________________________________________

Majlis diteruskan dengan Persembahan Koir dari Pelajar-pelajar SMK Jalan Reko di bawah pimpinan Pn. Fatini Diana bt. Othman dan Pn. Bemalapathy a/p Kunji Raman.
Hadirin hadirat yang dihormati, sekarang dipersilakan dengan segala hormatnya Pasukan Koir daripada SMK Jalan Reko dengan Lagu “Tanah Pusaka” . Dipersilakan.
_______________________________________________________

Seterusnya, majlis mempersilakan Pn. Sehidah bt. Sirajudin, Penolong Kanan HEM diiringi oleh Pn Siti Zabidah bt. Abdul Rahman, Setiausaha RIMUP untuk menyampaikan sijil dan cenderahati kepada Pasukan Koir yang terlibat.

Sekarang, dijemput wakil Pasukan Koir dari SMK Kajang Utama untuk menerima sijil dan cenderahati. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.

Seterusnya, dijemput wakil Pasukan Koir dari SMK Jalan Reko. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.
_______________________________________________________

Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan ini berakhir dengan nyanyian Lagu Patriotik. Dijemput sekali lagi Pasukan Koir daripada SMK Jalan Reko untuk mengetuai nyanyian Lagu Tanggal 31. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan. Dijemput Hadirin dan hadirat berdiri untuk menyanyikan lagu ini bersama-sama.
_______________________________________________________

Sedap sungguh buah kuini
Dimakan bersama dengan rakan
Tugas saya sampai di sini
Terlebih terkurang harap dimaafkan

Demikianlah berakhirnya Majlis Sambutan Penutupan Bulan Patriotisme Tahun 2011. Terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan majlis ini. Saya serahkan majlis kepada guru bertugas.

PENGACARA MAJLIS - PN. HASLINA BT IBRAHIM

Rabu, 24 Ogos 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2011

Koperasi SMK Jalan Reko Kajang Berhad mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang tidak lama lagi untuk semua warga SMK Jalan Reko khasnya dan semua umat Islam di seluruh dunia amnya. Tidak lupa untuk semua pengunjung yang sudi menghadirkan diri ke blog ini. Maaf Zahir Batin...

Jumaat, 19 Ogos 2011

Majlis Khatam Al-Quran & Sumbangan Hari Raya

Panitia Pendidikan Islam SMK Jalan Reko telah mengadakan berbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadhan ini. Di antara aktiviti yang dijalankan ialah
- Alunan Zikir, Nasyid dan Bacaan Al-Quran
- Tazkirah / Buletin Khas Ramadhan
- Kuiz Ihya' Ramadhan
- Tadarrus Al-Quran
- Program Solat Hajat Dan Bacaan Yasin Untuk Pelajar PMR & SPM



Hari ini, Majlis Khatam Al-Quran dan Sumbangan Hari Raya pula telah diadakan di Dataran Wawasan. Majlis yang bermula jam 7.30 pagi ini dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran diikuti dengan Bacaan Surah Yasin, diketuai oleh En. Mustafa b. Mohd Isa.



Selepas ucapan Pn. Fuziah bt. Mohd Ali (Penolong Kanan), majlis teruskan dengan Penyampaian Cenderamata kepada pelajar. Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada pelajar pula diwakili oleh Guru Tingkatan masing-masing. Persembahan Nasyid mengakhiri majlis ini yang bersurai pada jam 9.00 pagi.


Isnin, 15 Ogos 2011

Penyerahan Zakat Perniagaan 2011


Pada jam 7.30 pagi tadi, Koperasi SMK Jalan Reko Kajang Berhad telah menyerahkan Zakat Perniagaan semasa Majlis Perhimpunan Rasmi Mingguan di Dataran Wawasan. Zakat itu telah diserahkan oleh En. Mohd Syahizam b. Shair, Bendahari Koperasi (wakil pihak koperasi) dan diterima oleh Pn. Rosny bt. Osman, Pengetua SMK Jalan Reko (wakil pihak sekolah).


Wang zakat yang bernilai RM 1754.50 itu akan diserahkan kepada Panitia Agama Islam untuk dibahagikan kepada pelajar yang layak menerimanya semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Untuk Pelajar pada hari Jumaat nanti.


Sabtu, 30 Julai 2011

Selamat Menyambut Ramadhan 1432H

Jumaat, 8 Julai 2011

Majlis Serangkai Budi, Sekalung Kenangan



Pada jam 7.30 pagi tadi, Majlis Persaraan Pn. Rugayah Hanim bt Hashim dan Pn. Lalitha a/p Gopalsamy telah diadakan di Dataran Wawasan SMK Jalan Reko. Sesi pertama majlis ini diisi dengan ucapan-ucapan seterusnya penyampaian cenderamata dari Pelajar, Unit Khas, Kelab Guru, PIBG dan Pentadbir.



Selepas jamuan meraikan persaraan di Bilik Katering, majlis diteruskan dengan persembahan dari guru dan pelajar. Selepas 'thumb print' terakhir, mereka berdua diarak pulang oleh guru dan pelajar yang berbaris sehingga ke pintu pagar sekolah.



Untuk mereka yang bersara, Koopreko telah mempersembahkan sajak diiringi medley lagu Pada Syurga Di Wajahmu, Jangan Pisahkan dan Pergi. Semoga mereka tidak akan lupakan kenangan sepanjang berada di sekolah ini dan kami doakan mereka sihat walafiat di samping keluarga tersayang.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *