Khamis, 15 September 2011

Majlis Penutupan Bulan Patriotisme

Pada jam 7.30 pagi tadi, SMK Jalan Reko telah mengadakan Majlis Sambutan Bulan Patriotisme bertempat di Dataran Wawasan. Bulan Patriotisme yang telah disambut selama sebulan mulai bulan Ogos lepas telah diisi dengan pelbagai program yang dikendalikan oleh panitia-panitia yang terlibat di dalam Bidang Kemanusiaan.


Di dalam majlis itu Pn Rohaniah bt. Kassim selaku Ketua Bidang Kemanusiaan menyerahkan kembali Replika Keris yang telah diterima semasa Majlis Perasmian Bulan Patriotik awal bulan Ogos dahulu. Ini sebagai simbol tanggungjawab yang diberi telah pun disempurnakan.


Selain daripada persembahan Koir Lagu (Tanah Pusaka) dan Drama Patriotik (Puteri Gunung Ledang), majlis ini juga diserikan dengan persembahan Koir dari pelajar SMK Kajang Utama. Pn Fuziah bt. Mohd Ali, Pemangku Pengetua SMK Jalan Reko telah menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang telah dijalankan sepanjang Sambutan Bulan Patriotik berlangsung.



Read More...

TEKS UCAPAN MAJLIS PENUTUPAN BULANPATRIOTISME KALI KE 54

Yang berusaha, Pn. Fuziah bt. Mohd Ali, Pemangku Pengetua SMK Jalan Reko
Pn. Sehidah bt. Sirajudin, Penolong Kanan HEM
Pn. Noorlaili bt. Mahmud, Penolong Kanan Kokurikulum
Pn. Che Sarbani bt. Abu Hanifah, Penolong Kanan Tingkatan 6
Pn. Yap Eit Moy, Penolong Kanan PPKI
Semua Ketua Bidang, Guru Bimbingan Kaunseling Sepenuh Masa
Turut mengalu-alukan delegasi SMK Kajang Utama
Guru-guru dan pelajar-pelajar sekelian.

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
_______________________________________________________

Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama-sama di dalam Majlis Penutupan Bulan Patriotisme yang telah mula disambut pada bulan Ogos lepas. Sambutan selama sebulan ini telah diisi dengan pelbagai program yang dikendalikan oleh Panitia-panitia yang terlibat di dalam Bidang Kemanusiaan.

Hadirin dan hadirat sekelian, agar majlis kita mendapat keberkatan dari Ilahi, dijemput En. Abdul Ghaffar b. Abdullah untuk membaca doa. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
_______________________________________________________

Majlis mengucapkan terima kasih kepada En. Abdul Ghaffar b. Abdullah di atas bacaan doa itu tadi. Seterusnya, diminta para hadirin berdiri untuk menyanyikan tiga buah lagu iaitu Lagu Negaraku, Lagu Negeri Selangor dan Lagu Sekolah. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
_______________________________________________________

Naik kereta pergi ke pekan
Untuk membeli ikan tenggiri
Ucapan Puan kami nantikan
Semoga majlis terus berseri

Bagi meneruskan majlis, dijemput Pn. Fuziah bt. Mohd Ali, Pemangku Pengetua SMK Jalan Reko untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan Majlis Penutupan Bulan Patriotisme. Dengan segala hormatnya, majlis mempersilakan.
_______________________________________________________

Majlis mengucapkan terima kasih kepada Pn. Fuziah bt. Mohd Ali di atas ucapan itu tadi. Seterusnya, majlis menjemput Pn. Rohaniah bt. Kassim, Ketua Bidang Kemanusiaan untuk menyerahkan kembali Replika Keris sebagai simbol tanggungjawab yang diberi telah pun disempurnakan. Dengan segala hormatnya, majlis mempersilakan.
_______________________________________________________

Pergi ke kedai bersama nyonya
Untuk membeli ikan haruan
Majlis ini tiada serinya
Tanpa disajikan dengan persembahan

Majlis diteruskan dengan persembahan Koir dari pelajar-pelajar SMK Kajang Utama di bawah pimpinan Pn Rohaida bt. Ismail dan Pn Asma bt. Mohd Tahrim. Untuk pengetahuan para hadirin, Persembahan Koir ini adalah salah satu daripada Program RIMUP Kelompok A11 yang menggabungkan tiga buah sekolah iaitu SMK Jalan Reko, SMK Kajang Utama dan SMK Jalan Empat.

Hadirin yang dihormati, dipersilakan dengan segala hormatnya Pasukan Koir daripada SMK Kajang Utama. Dipersilakan.
_______________________________________________________

Majlis mengucapkan terima kasih di atas persembahan koir itu tadi. Majlis diteruskan dengan Persembahan Drama Patriotik hasil idea Pelajar Tingkatan 6 Rendah di bawah pimpinan Saudara Mohd Amirul Amir b. Ismail .

Hadirin dan hadirat sekelian, sekarang dipersilakan Pelajar-pelajar Tingkatan 6 Rendah dengan Drama yang berjudul “Puteri Gunung Ledang”. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.
_______________________________________________________

Seterusnya, majlis mempersilakan Pn Fuziah bt. Mohd Ali, Pemangku Pengetua diiringi oleh Pn Rohaniah bt. Kassim, Ketua Bidang Kemanusiaan untuk acara penyampaian hadiah pertandingan yang dijalankan sempena Bulan Patriotisme. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.
_______________________________________________________

Majlis diteruskan dengan Persembahan Koir dari Pelajar-pelajar SMK Jalan Reko di bawah pimpinan Pn. Fatini Diana bt. Othman dan Pn. Bemalapathy a/p Kunji Raman.
Hadirin hadirat yang dihormati, sekarang dipersilakan dengan segala hormatnya Pasukan Koir daripada SMK Jalan Reko dengan Lagu “Tanah Pusaka” . Dipersilakan.
_______________________________________________________

Seterusnya, majlis mempersilakan Pn. Sehidah bt. Sirajudin, Penolong Kanan HEM diiringi oleh Pn Siti Zabidah bt. Abdul Rahman, Setiausaha RIMUP untuk menyampaikan sijil dan cenderahati kepada Pasukan Koir yang terlibat.

Sekarang, dijemput wakil Pasukan Koir dari SMK Kajang Utama untuk menerima sijil dan cenderahati. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.

Seterusnya, dijemput wakil Pasukan Koir dari SMK Jalan Reko. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.
_______________________________________________________

Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan ini berakhir dengan nyanyian Lagu Patriotik. Dijemput sekali lagi Pasukan Koir daripada SMK Jalan Reko untuk mengetuai nyanyian Lagu Tanggal 31. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan. Dijemput Hadirin dan hadirat berdiri untuk menyanyikan lagu ini bersama-sama.
_______________________________________________________

Sedap sungguh buah kuini
Dimakan bersama dengan rakan
Tugas saya sampai di sini
Terlebih terkurang harap dimaafkan

Demikianlah berakhirnya Majlis Sambutan Penutupan Bulan Patriotisme Tahun 2011. Terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan majlis ini. Saya serahkan majlis kepada guru bertugas.

PENGACARA MAJLIS - PN. HASLINA BT IBRAHIM

Tiada ulasan:

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *