Sabtu, 4 Ogos 2012

Penyerahan Zakat 2012

Setiap tahun Koperasi SMK Jalan Reko Kajang Berhad tidak lupa untuk menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat atas perniagaan yang dijalankan. Setiap kali bulan Ramadhan, wakil koperasi akan menghantar Penyata Kewangan Teraudit kepada Pusat Zakat Selangor untuk pengiraan jumlah zakat. Untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2011, jumlah wang zakat yang perlu dikeluarkan ialah sebanyak RM 1303.50



Pada jam 7.30 pagi, 3 Julai 2012, En. Mohd Syahizam b. Shair (Bendahari Koperasi) telah menyerahkan zakat perniagaan kepada Pn. Che Normalis bt. Alias (Penolong Kanan). Wang zakat ini kemudiannya akan diserahkan kepada Panitia Agama Islam untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar yang layak menerimanya.

Semoga dengan penyerahan zakat ini akan membersihkan dan menyucikan harta dan semoga harta dan rezeki koperasi kita akan bertambah lagi.

Pelancaran Bulan Patriotisme 2012

Pada 17 Julai 2012, telah berlangsung Majlis Pelancaran Bulan Patriotisme di Dataran Wawasan SMK Jalan Reko. Kali ini tiba giliran Pn Haslina bt. Ibrahim, Ketua Panitia Ekonomi Asas yang juga Setiausaha Koperasi SMK Jalan Reko Kajang Berhad menjadi Setiausaha Program Bulan Patriotisme.




Majlis dimulakan dengan ucapan setiausaha program diikuti dengan Kawad Membawa Bendera oleh Pasukan Kadet Polis. Selepas itu, Pn. Che Normalis bt. Alias (Penolong Kanan) diiringi ke pentas untuk memberi ucapan dan seterusnya merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Patriotisme. Sebagai gimmick perasmian, pasukan bermotor yang membawa bendera berarak ke pentas untuk menyerahkan bungkusan hadiah kepada perasmi. Setelah bungkusan itu dibuka, perasmi menyerahkan kotak keris yang terdapat di dalam bungkusan kepada Pn. Rohaniah bt. Kassim (Ketua Bidang Kemanusiaan) sebagai tanda penyerahan tugas untuk menjalankan aktiviti yang telah dirancang.





Majlis diteruskan dengan bacaan sajak oleh Mohd Haziq dan Desy Arnita. Kemudian Desy Arnita dan Azira mempersembahkan lagu Bahtera Merdeka. Majlis ditutup dengan kibaran bendera dan nyanyian lagu Tanggal 31 beramai-beramai.




Senamrobik Serentak 1M1S 2012

Pada 10 Julai 2012, PPD Hulu Langat telah memilih SMK Jalan Reko untuk mengadakan Majlis Perasmian Senamrobik Serentak 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia. Majlis ini diadakan pada jam 8.00 pagi di Dataran Wawasan dan dirasmikan oleh En. Sharuddin b. Yusof, Pegawai PPD Daerah Hulu Langat.





Koperasi SMK Jalan Reko Kajang Berhad telah diberi tanggungjawab untuk melancarkan gimmick perasmian. Dari awal lagi pengawas koperasi telah bersedia di tingkat 3 bangunan sekolah. Selepas ucapan perasmian, gendang dipalu sebanyak 3 kali. Selepas itu letupan kertas berwarna-warni dan banner dilepaskan dari tingkat 3 sementara belon yang digulung dgn kain bunga raya pula dilepaskan dari tingkat 2, diiringi lagu The Final Countdown.




Selepas selesai majlis perasmian, warga sekolah bersenamrobik mengikut jurulatih yang telah dijemput oleh pihak sekolah.

Kejohanan Balapan & Padang 2012

Pada 8 Julai 2012, Kejohanan Balapan & Padang Ke-18 telah diadakan di Stadium MPKJ Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Koperasi SMK Jalan Reko Kajang Berhad seperti tahun-tahun sebelumnya, diberikan tanggungjawab untuk menyediakan makanan dan minuman untuk dijual kepada guru dan pelajar.




Jualan bermula seawal jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang. Antara jualan pada hari tersebut ialah nasi lemak, nasi goreng, mee hoon, minuman kotak dan botol, roti bun dan ice blended. Terima kasih diucapkan kepada pengawas koperasi yang membantu menguruskan jualan.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *