Selasa, 14 Disember 2010

Baju Kokurikulum Tahun 2011



Mesyuarat Anggota Lembaga Koperasi (ALK) Kali Ke-2 Tahun 2010 telah memutuskan untuk menukar baju sukan lama (empat warna) kepada baju kokurikulum (satu warna). Ini adalah untuk menyenangkan urusan pengedaran baju itu terutamanya semasa Hari Pendaftaran Tingkatan Satu.

Sebelum ini pelajar-pelajar tingkatan satu terpaksa menunggu lebih kurang sebulan untuk mendapatkan baju tersebut kerana rumah sukan hanya diketahui melalui nombor pendaftaran sekolah. Setelah guru tingkatan menyerahkan senarai rumah sukan tersebut, barulah pihak koperasi boleh menguruskan penyerahan baju tersebut kepada pelajar setelah diasingkan saiz dan warnanya. Jadi, dalam masa sebulan pertama itu pelajar-pelajar Tingkatan Satu perlu membeli baju lain untuk dipakai semasa hadir untuk aktiviti kokurikulum.

Selain dari itu, pihak koperasi sendiri mengalami masalah untuk menempah dan menyimpan stok kerana ia melibatkan dua kategori (tangan panjang dan tangan pendek) serta empat warna dengan lima saiz setiap satu.


Untuk mengatasi masalah itu, cadangan pelaksanaan baju kokurikulum ini telah diterima sebulat suara. Warna oren dipilih untuk mengelakkan warna empat rumah sukan dan badan khas yang ada di sekolah. Semasa sukan nanti, pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan akan dibezakan melalui pemakaian label nombor mengikut warna rumah sukan masing-masing.


Pelajar-pelajar boleh mula membeli Baju Kokurikulum ini pada 20 Disember 2010 dengan harga RM 18.50 untuk lengan pendek (lelaki) dan RM 19.50 untuk lengan panjang (perempuan). Baju Kokurikulum ini juga dibenarkan dipakai sepanjang waktu persekolahan bagi pelajar-pelajar yang mempunyai subjek Pendidikan Jasmani pada hari tersebut. Baju kokurikulum ini akan dipakai pertama kalinya oleh Pengawas Koperasi semasa Hari Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu nanti.

Tiada ulasan:

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *