Rabu, 26 Februari 2014

Kursus Kepimpinan 2014 - Dusun Eco Resort, Pahang

Pada 22 - 23 Februari yang lalu, Kelab Koperasi telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Pengawas Koperasi Di Dusun Eco Resort, Pahang. Kursus ini disertai oleh 44 orang Pengawas Koperasi, 4 orang fasilitator dan 3 orang guru. Para peserta telah diingatkan agar berkumpul di sekolah selewat-lewatnya pada jam 7.30 pagi (22/2/14) untuk pendaftaran, taklimat dan pengagihan baju Team Building KOOPREKO yang telah ditempah khas untuk kursus ini. Kami bertolak dari sekolah pada jam 8.30 pagi dengan menaiki bas sekolah. Untuk sampai ke Dusun Eco Resort, kami terpaksa menaiki lori kerana bas tidak boleh masuk terus ke tempat tersebut.

Setelah pendaftaran, para peserta dibawa ke dewan untuk aktiviti pertama yang dikendalikan oleh Cikgu Syah - Penerangan tentang Koop R.O.C, seterusnya aktiviti LDK diteruskan oleh fasilitator.  Selepas makan tengah hari, peserta sembahyang berjemaah di surau. Pada jam 3.00 petang, aktiviti Rentas Halangan dikendalikan oleh pihak Dusun Eco Resort. Aktiviti Sukaneka di dalam & di sekitar kolam dijalankan selepas solat asar dan minum petang. Sementara itu, Cikgu Izwan dan Cikgu Syah menguruskan persiapan untuk membuat BBQ. Setelah sukaneka tamat, para peserta membersihkan diri dan bersiap sedia untuk solat maghrib dan isyak berjemaah. Tazkirah pada malam itu disampaikan oleh Cikgu Izwan.


Lebih kurang jam 9.00 malam, kami makan di dewan. Selepas itu, aktiviti Cabutan Bertuah dan Anugerah MELETOPS dijalankan. Terdapat 15 orang peserta 'bertuah' ditampilkan untuk mencabut undi dan mengikut arahan yang diberikan. Terdapat 5 Anugerah Meletops yang dipertandingkan iaitu "Cerminku Retak Seribu", "Murai.com", "Kecil-kecil Cili Padi:, "Suara Emas" dan "Siapalah Aku".


Pada hari kedua, para peserta dikejutkan pada jam 5.30 pagi untuk membersihkan diri dan solat Subuh berjemaah. Selepas itu, aktiviti senaman dikendalikan oleh Cikgu Izwan dan para fasilitator. Para peserta bersarapan pada jam 7.30 pagi dan aktiviti seterusnya ialah Menaiki Jambatan Gantung dan Flying Fox. Selepas minum pagi, Majlis Penutup dan pembahagian hadiah dijalankan di dewan. Kami bertolak balik pada jam 12.00 tengah hari dan singgah makan di R&R Gombak. Kami tiba di sekolah pada jam 4.30 petang.


Terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh para peserta dan semua yang terlibat dalam menjayakan kursus ini. Maaf atas segala kekurangan, yang baik datangnya dari Allah, yang buruk datangnya dari kelemahan saya sendiri.

Tiada ulasan:

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *