Sabtu, 29 Mac 2014

Jakarta - Bandung 2014


Pada 25 - 28 Mac 2014, Lawatan Sambil Belajar ke Jakarta - Bandung telah berjaya diadakan dengan pakej Asiarasa Travel Centre.  Ini merupakan penganjuran kali kedua lawatan ke luar negara selepas negara Singapura pada tahun lepas.  Seramai 22 orang peserta yang terlibat di dalam lawatan ini iaitu 11 orang guru dan 11 orang lagi adalah ahli keluarga guru. 


Kami berkumpul di KLIA dan menaiki pesawat Malindo Air.  Setibanya di Lapangan Terbang Soekarno Hatta Jakarta, kami menaiki bas dan terus menuju ke Bandung.  Kami berhenti makan tengah hari dan solat di restoren sebelum meneruskan perjalanan.  Tempat persinggahan pertama kami ialah Cibaduyut, tempat membeli kasut kulit. Malam itu kami makan di Restoren Sederhana yang menyajikan masakan Padang sebelum check-in di V-Hotel.


Pada hari kedua, selepas sarapan pagi di hotel kami ke Tangkuban Perahu, destinasi yang tersohor dengan lagenda Sangkuriang, cinta terlarang antara ibu dan anak kandung. Seterusnya, kami ke Rabbani, pusat pakaian Muslim.  Selepas itu, kami ke Jalan Riau, membeli minyak wangi dan juga tas tangan di Terminal Tas. Tengah hari itu, kami makan di Restoren Belacan. Destinasi terakhir pada hari itu ialah Toko 3 (Original Jeans Centre).  Selepas makan malam di Restoren Seafood, kami pulang ke hotel.


Pada hari ketiga, kami check-out hotel dan menuju ke Kedai Kartika Sari untuk membeli kek Brownies dan kek lapis sebagai buah tangan. Selepas itu, kami ke Pasar baru untuk membeli Telekong, kain Batik, kain sulam dan pakaian lain. Kami seterusnya menuju ke Jakarta melalui Cipularang Highway dan singgah makan serta solat di Restoren Simpang Raya. Perjalanan diteruskan ke Taman Mini Indonesia. Selepas makan malam, kami singgah di Tugu Monas dan Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara. Malam itu kami menginap di Hotel Neo, Mangga Dua, Jakarta.


Hari terakhir, kami ke ITC Mangga Dua untuk membeli belah buat kali yang penghabisan di Jakarta sebelum berangkat ke Lapangan Terbang untuk kembali ke Malaysia. Penerbangan kami adalah pada jam 1.15 petang (waktu Indonesia) dan kami tiba di KLIA pada jam 4.20 petang. Semoga penganjuran lawatan ke luar negara ini akan dapat diteruskan lagi ke destinasi lain pula pada tahun-tahun yang akan datang.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Terbaik la Koop Reko.....teruskan usaha n next year kita ke China plak....

ury berkata...

Wahh.. bestnya nampak. Blom sampai lagi sana...mungkin 1 hari nanti.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *